Translate

zakizulkifli.com

Sunday, October 7, 2012

Kemudahan tidak sempurna


kemudahan asas tidak sempurna
Mohd Nazri (tiga, kanan) ketika menemui peniaga di deretan gerai di hadapan Fresco melihat baldi penyimpanan air peniaga ketika lawatan dibuat.
REMBAU -  Maklumat yang diterima Biro Perhubungan dan Pengaduan Awam Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri mengenai kira-kira 12 gerai perniagaan di hadapan sebuah pasar raya di Chembong, dekat sini tidak dilengkapi kemudahan air paip, plak tiga pin dan sistem saliran ternyata berasas apabila senario berkenaan adalah rutin harian yang terpaksa dihadapi peniaga di sini untuk mencari rezeki.

Ketua AMK negeri, Mohd Nazri Mohd Yunus berkata, aduan berkenaan merupakan salah satu daripada 35 aduan yang diterima pihaknya sejak penubuhan biro berkenaan yang bertujuan memberi ruang dan peluang masyarakat setempat mengetengahkan pelbagai masalah lebih-lebih lagi masalah yang sudah dibiarkan tanpa tindakan penyelesaian dalam tempoh masa lama.

Menurutnya, bagi aduan mengenai kemudahan air, sejak beberapa tahun lalu golongan peniaga terpaksa mengambil inisiatif sendiri untuk mengangkut air dari paip yang terletak berhampiran pasar raya berkenaan hampir setiap hari bagi memenuhi keperluan mereka membasuh tangan dan peralatan yang digunakan pelanggan.

“Senario seumpama ini seharusnya tidak berlaku sama sekali kerana kebajikan peniaga di sini yang rata-ratanya golongan Bumiputera perlu diambil perhatian serius oleh pelbagai pihak memandangkan mereka bergantung sepenuhnya untuk menambah sumber pendapatan melalui aktiviti perniagaan makanan dan minuman.

“Malah, wujud permintaan daripada pelanggan untuk makan di hadapan kios ini yang pada mulanya hanyalah kios untuk jualan sahaja dan peniaga pula harus mengikut rentak pelanggan kerana ia bersangkutan dengan penambahan pendapatan mereka lebih-lebih lagi sewa bulanan gerai berkenaan adalah sebanyak RM200 sebulan,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi gerai berkenaan,.

Turut hadir, Exco AMK Malaysia yang juga Pengarah Biro Perhubungan dan Pengaduan Awam AMK Negeri, Ramlan Roes.

Sementara itu, Mohd Nazri berkata, dia berharap masalah berkenaan akan mendapat perhatian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) memandangkan kemudahan bekalan air dan juga sistem saliran di gerai ini amat diperlukan oleh golongan peniaga Bumiputera di sini lebih-lebih lagi lokasi berkenaan semakin mendapat perhatian daripada masyarakat setempat.

Menurutnya, sememangnya pihak pemilik gerai sudah pun melengkapi gerai berkenaan dengan kemudahan lampu seawal jam 6 petang, namun ia masih lagi tidak memenuhi keperluan peniaga untuk memiliki plak sendiri sekiranya ingin memasang kipas untuk keselesaan masing-masing semasa menjalankan aktiviti perniagaan.
READ MORE - Kemudahan tidak sempurna

Pengemis kaya bukan dongeng


pengemis
Sikap mudah percaya dan tidak usul periksa menggalak bilangan pengemis.
KITA biasa dengar atau baca cerita pengemis yang kaya, menginap di hotel atau dijemput dengan kereta selepas minta sedekah di kaki lima.
Namun satu kisah benar yang dibongkar di sebuah rumah kebajikan di Marang, Terengganu, seharusnya membuka mata semua pihak.
Seorang penghuni rumah kebajikan itu (nama dirahsiakan) yang sering curi keluar untuk mengemis, didapati menyimpan wang tunai lebih kurang RM15,000 di bawah katilnya selain mempunyai tiga akaun bank berasingan dengan nilai simpanan RM60,000.
Ini semua ditemui selepas dia meninggal dunia kira-kira sebulan lalu.
Jadi, cerita pengemis kaya di negara kita bukan hanya kisah dongeng atau cerita mulut ke mulut, sebaliknya suatu realiti yang menuntut kita bersama-sama berfikir, bagaimana ini boleh terjadi?
Bukan kita mahu menghalang orang daripada membuat kebajikan, namun manipulasi dalam kegiatan mengemis ini bukan cerita baru.
Dengan adanya pengemis yang kaya, kita tidak mahu negara bertuah ini dianggap sebagai negara yang kaya dengan pengemis.
Lihat sahaja di mana-mana, pengemis sekarang bukan sahaja berwajah tempatan, malah ada juga yang 'diimport'.
Ini terjadi kerana dalam keadaan kita dihadap dengan pelbagai cerita hal pengemis, masih ramai mahu berbaik sangka dengan alasan "saya ikhlas mahu buat kebajikan. Soal mereka menipu, itu antara mereka dengan ALLAH."
Ya, memang benar namun sama ada kita sedar atau tidak, sikap mudah percaya dan tidak usul periksa juga menggalakkan lagi bilangan pengemis yang sekali gus menimbulkan banyak masalah dalam masyarakat kita.
Kita bukan tidak pernah dengar mengenai sindiket yang mengaut kekayaan dengan cara mudah memperalatkan golongan kurang upaya untuk meminta sedekah bagi pihak mereka.
Apabila kita memberi sumbangan kepada golongan ini, kita bukan membantu mereka tetapi menggalakkan lagi penganiayaan terhadap golongan ini kerana hasilnya bukan kepada mereka tetapi kepada pihak sindiket. Ada laporan bahawa sindiket yang tidak berperikemanusiaan ini malah tergamak mencederakan atau merosakkan anggota tubuh pengemis yang diperalatkan bagi memudahkan lagi mereka mendapat simpati.
Itu belum termasuk kumpulan memperalatkan kanak-kanak, berselindung di sebalik penjualan produk, si celik yang kononnya membantu si buta menjual tisu atau penanda buku, walhal tujuannya tidak lain tidak bukan adalah untuk berkongsi hasil.
Tidak kurang juga kehadiran pengemis dalam masyarakat kita ada yang berakhir dengan jenayah seperti ragut atau samun.
Soalnya, kita bukan mahu menghalang orang membuat kebajikan atau membantu mereka yang benar-benar memerlukan.
Namun hakikatnya di negara kita, untuk golongan kurang bernasib baik ini, mereka dilindungi dengan sebaik mungkin oleh kerajaan di bawah undang-undang yang khusus untuk melindungi hak dan kepentingan mereka, Akta Orang Papa 1997 (Akta 183).
Selain itu, terdapat agensi yang khusus untuk membantu mereka seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang menyediakan bukan sahaja perlindungan malahan kursus kemahiran bagi membantu golongan kurang upaya menjana pendapatan sendiri, rumah perlindungan bagi warga emas untuk mengelak mereka jadi kutu rayau dan sebagainya.
Di negeri-negeri, peruntukan bawah bidang kuasa agensi pungutan zakat juga terbuka luas untuk golongan ini.
Kerana itu, berhadapan dengan golongan pengemis, tidak kira apa modus operandi, mereka harus dicurigai.
Jika tidak, memberi sumbangan kepada mereka yang kita anggap sebagai sumbangan kebajikan, sebenarnya ia juga sumbangan untuk meningkatkan lagi masalah sosial dalam masyarakat kita.
READ MORE - Pengemis kaya bukan dongeng

Thursday, September 13, 2012

Kenit jadi tumpuan, gembira didukung


Kenit jadi tumpuan, gembira didukung
Kenit merakam kenangan bersama ibunya, Zauziah.
PONTIAN – Melihatkan tubuhnya yang kecil dan berwajah kanak-kanak, pasti sukar mempercayai Mohammad Nor Ashari Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai 'Kenit', sudah berusia 17 tahun.

Dengan ketinggian 72 sentimeter atau hanya tiga kaki yang merupakan ketinggian bagi kanak-kanak yang berusia lima tahun, tidak membataskan Kenit bergaul dengan rakan-rakannya.

Malah, Kenit yang gemar menyanyi dan membuat persembahan di majlis-majlis jamuan raya dan majlis perkahwinan yang dihadirinya sering mencuri tumpuan.

“Ramai yang tidak percaya saya sudah berusia 17 tahun dan menyangka saya masih berusia lima tahun, sehingga kadang-kadang saya perlu menunjukkan MyKad kepada mereka.

“Saya suka menyanyi dan mahu menghiburkan hati semua orang,” katanya.

Dia yang ditemani ibunya ditemui Sinar Harian pada majlis rumah terbuka Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pontian di Dewan Jubli Intan Pontian, di sini, semalam.

Bagi ibunya, Zauziah Husin, 47, dia menyifatkan anaknya itu sebagai permata yang sungguh berharga dan unik dengan gelagatnya.

Katanya, Kenit yang merupakan anak ketiga dari lima beradik itu tidak boleh berjalan lama kerana dia mudah berasa letih.

“Saya bersyukur sejak Kenit memasuki kelas Pusat Dalam Komuniti (PDK) Benut tiga tahun lalu, dia sudah boleh berdiri agak lama berbanding dahulu,” katanya yang tinggal di Kampung Parit Maklumi, Benut, dekat sini.

Zauziah yang juga suri rumah berkata, sebelum ini anaknya itu bersekolah di sekolah harian biasa, namun dipindahkan ke kelas PDK tiga tahun lalu selepas mendapat nasihat guru dan rakan-rakan.

“Kehadiran Kenit menceriakan majlis dan kadangkala ada mendukungnya membuatkan dia begitu gembira

“Kenit juga sering bercerita kepada saya tentang impiannya untuk menunggang motosikal, saya dan suami sentiasa mendoakan agar dia akan berjaya mencapai impiannya itu suatu hari nanti,” katanya.

Dalam pada itu katanya, anaknya itu menerima bantuan persekolahan daripada JKM sebanyak RM150 sebulan.

Majlis yang mengumpulkan kira-kira 100 penerima bantuan JKM dan warga emas itu turut dihadiri Pegawai Daerah, Muji Salimon; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulai Sebatang, Datuk Tee Siew Kiong; Adun Pekan Nenas, Tang Nai Soon, dan Pegawai JKM Pontian, Juhainun Mohd Shukri.
READ MORE - Kenit jadi tumpuan, gembira didukung

Ibu Abil: 'Saya tak sanggup menatap wajah Fauziah'


Abil Fikri Ahmad
Abil membacakan Sinar Harian Edisi Isnin kepada isterinya, semalam. - Foto Sarinah Mat Kasim
SHAH ALAM – “Saya tidak sanggup masuk ke bilik Fauziah." Demikian menurut ibu mertua Fauziah Muhamad, yang mengalami masalah saraf otak dan terlantar di katil sejak Jun tahun lalu.

Katijah Kassein, 65, ibu kepada Abil Fikri Ahmad, terus terang mengatakan bahawa dia tidak mampu memasuki bilik Fauziah, 38, kerana tidak dapat menahan air mata setiap kali melihat keadaan menantunya.

“Apabila keadaan dia jadi begini, saya sedih sangat. Sampaikan saya tidak sanggup menatap wajah dia, memang menitik air mata,” luah Katijah sebak.

“Dulu dia rajin. Serba-serbi boleh buat, memang tak banyak kerenah. Malah dia sering ambil berat tentang saya.

“Kini, dia hanya mampu terbaring atas katil, sayu hati saya,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online malam tadi.

Setiap hujung minggu, Katijah dan suaminya, Abdullah Lajis, 66, akan pulang ke rumahnya di Seremban, yang kini didiami Abil dan Fauziah.

Katanya, “saya balik ke Seremban setiap hujung minggu untuk teman Abil dan masak untuk dia.”

Mengimbas kembali detik-detik awal Fauziah terlantar, Katijah akui kenyataan itu sukar diterima Abil.

“Pada awalnya, memang Abil susah nak terima keadaan Fauziah tetapi  kami berikan sokongan kepadanya tanpa jemu.

“Akhirnya, Abil dapat terima dan setakat ini dia boleh menjaga Fauziah dengan baik dan kami sekeluarga tetap menyokong,” katanya.

Menurut Katijah, Aidilfitri tahun ini jelas berbeza jika dibandingkan dengan tahun lalu.

“Tahun lepas, tidak ada seorang pun yang tidak menangis dalam keluarga kami.

“Sejak Fauziah memasuki keluarga kami, dia yang memasak untuk raya. Petang raya, dia yang akan tungkus-lumus di dapur, malah dia tak akan benarkan saya bantu,” cerita Katijah dalam nada sebak.

Menyentuh soal tindakan Abil berhenti kerja, Katijah menyokong keputusan anak ketiganya itu.

“Dalam keluarga kami, apa-apa perkara sekalipun kami akan bawa berbincang jadi perkara itu juga sudah mencapai kata sepakat.

“Sebagai ibu, saya hormati keputusan Abil,” kata Katijah.

Meskipun akur dengan kenyataan doktor yang sudah berputus asa, namun Katijah tetap menaruh harapan menantunya akan sembuh.

“Ini kehendak ALLAH, kalau dia sembuh itu memang kuasa ALLAH dan saya harap Abil tabah kerana saya tahu dia sayangkan Fauziah," katanya lagi.

Ahad lalu, Sinar Harian Online melaporkan pengorbanan bekas perunding kewangan dan speaker motivasi yang berhenti kerja demi menjaga isterinya yang terlantar sejak diserang asma.

Kisah hidup Abil-Fauziah ini terus menerus mendapat perhatian sejak disiarkan dan pelbagai maklum balas diterima berhubung kisah ini.
READ MORE - Ibu Abil: 'Saya tak sanggup menatap wajah Fauziah'

Sunday, September 9, 2012

Suami berhenti kerja jaga isteri koma

Suami berhenti kerja jaga isteri koma
Abil bersama isterinya Fauziah yang koma.- Foto ihsan blog Abil

Suami berhenti kerja jaga isteri koma
Abil dan Fauziah saat meniti bahagia di hari perkahwinan mereka.



"DIA amanah saya. Saya dahan dia, tempat dia bergantung," kata Abil Fikri Ahmad, 43 yang sanggup berhenti kerja demi menjaga isterinya yang terlantar sejak tahun lalu.

Fauziah Muhamad, 38, diserang asma sehingga menyebabkan dia mengalami kerosakan pada saraf otaknya sejak Jun 2011.

Mungkin tidak semua lelaki yang bergelar suami di dunia ini sanggup melakukan pengorbanan yang dibuat oleh Abil.

Ketika dihubungi di Seremban hari ini, katanya, "saya pegang amanah."

"Apa yang saya lafaz sewaktu ijab kabul dulu, saya cuba tunaikan sebaik mungkin," katanya ketika dihubungi Sinar Harian Online.

Dia juga menolak untuk menerima pujian yang diberi kepadanya atas alasan apa yang dilakukannya kerana berpegang kepada undang-undang perkahwinan.

Pasangan itu bernikah pada 13 Mac 2009 dan menerima ujian yang mengubah kehidupan mereka kira-kira dua tahun selepas bergelar suami isteri.

Cerita Abil, pada 22 Jun tahun lalu, kira-kira jam 4.30 pagi, Fauziah mengalami asma sehingga mengalami kesukaran bernafas dan dalam perjalanan ke hospital, isterinya itu berhenti bernafas.

"Apabila jantung berhenti mengepam oksigen ke otak lebih 30 minit, 93 peratus otak tidak berfungsi.

"Setelah dirawat, doktor memberitahu bahawa selepas tiga hari isteri saya akan sedar, namun sehingga hari kelima, dia masih belum sedar," katanya.

Bekas perunding kewangan dan speaker motivasi itu membuat keputusan berhenti kerja selepas berkhidmat selama 11 tahun sebaik dimaklumkan tentang keadaan isterinya itu.

"Selepas masuk hari kelima, dia (Fauziah) tidak sedarkan diri, doktor yang merawat menjalankan CT Scan dan diberitahu bahawa saraf otaknya mengalami kerosakan.

"Pada detik itu juga, saya terus mengambil keputusan untuk berhenti kerja tanpa teragak-agak," katanya lagi.

Tambahnya, setelah dua bulan terlantar di hospital, Fauziah dibawa pulang ke Seremban sementara keluarga Abil menetap di Kuala Lumpur.

Ketika ditanya mengapa tidak memilih tempat yang lebih dekat dengan keluarganya, Abil menjawab,  “saya tidak mahu melibatkan ramai orang dalam menjaga dia."

"Biarlah mereka buat kerja mereka. Saya sudah selesa menjaga dia,” katanya lagi.

Tiga bulan pertama menguruskan kehidupan baru cukup memberi tekanan terhadap emosi lelaki ini, namun setelah bergantung kepada al-Quran, Abil akui mampu menanganinya dengan lebih tenang.

Bertahan hanya dengan wang simpanan, sumbangan orang ramai, wang pencen isterinya dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) membuatkan dia berhati-hati dalam pengeluaran.

“Setiap bulan keperluan asas dia mencecah RM2,500 dan jika dia kurang sihat sama ada demam dan sebagainya, belanja bulanan mencecah RM3,500 hingga RM4,000.

“Dia tidak boleh menelan atau mengunyah, jadi saya perlu memberi makanan dalam bentuk cecair seperti bubur, bijirin dan susu melalui tiub saluran padanya,” kata Abil.

Berat badan Fauziah menyusut sejak terlantar daripada 70 kilogram (kg) kini hanya tinggal 30kg.

Menurut Abil, dia menerima 'hadiah' daripada ALLAH ini kerana tidak semua orang mendapat apa yang diterimanya.

Bercerita tentang kaedah rawatan yang dicadangkan oleh pihak pakar perubatan, Abil menjelaskan bahawa memang ada cadangan supaya Fauziah menjalani pembedahan, namun setakat ini tiada sebarang jaminan.

“Nak buat boleh, tetapi tiada sebarang jaminan. Saya boleh terima kaedah itu jika ada jaminan," ujarnya.

Mengakui jauh di sudut hatinya berharap agar Fauziah kembali sihat seperti sebelumnya namun redha jika ALLAH mengambilnya.

"Saya memang berharap dia akan sembuh tetapi jika Tuhan mengambil dia, saya redha," katanya.

Menurut Abil, jika berpeluang untuk bekerja semula, dia memilih kerjaya sebagai penceramah motivasi berbanding kerjaya lamanya.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghubungi Abil di talian 016-2634258.

Abil juga mengabadikan pengalamannya dalam bentuk tulisan di blog peribadinya http://abil4fauziah.blogspot.com/.
READ MORE - Suami berhenti kerja jaga isteri koma

Kisah Abil-Fauziah: Pembaca beri sokongan moral

Abil-Fauziah
Akrab dengan al-Quran menjadikan Abil seorang yang tabah.

Abil-Fauziah
Abil bersama isterinya Fauziah yang masih sihat.

Abil-Fauziah
Abil sentiasa menemani Fauziah.



SHAH ALAM - Pengorbanan Abil Fikri Ahmad, yang berhenti kerja untuk menjaga isterinya sejak lebih setahun lalu, mendapat perhatian orang ramai dan turut menerima sokongan moral, dengan ada yang menyifatkan sebagai "cinta murni sebenar."

Ada pembaca yang menyifatkan sukar untuk mencari suami sedemikian buat masa sekarang.

Isteri Abil Fikri, Fauziah Muhamad, 38, diserang asma sehingga menyebabkan dia mengalami kerosakan pada saraf otaknya sejak Jun 2011.

Abil Fikri, bekas perunding kewangan dan speaker motivasi, membuat keputusan berhenti kerja selepas berkhidmat selama 11 tahun sebaik mengetahui tentang keadaan isterinya itu.

Noraini Amran, dari Universiti Malaya, pembaca terawal menurunkan komen menerusi portal Sinar Harian Online berkata: "Suami yang hampir mustahil untuk ditemui lagi di bumi ini."

"Semoga ALLAH permudahkan urusan saudara sekeluarga, semoga ALLAH berkati dan rahmati saudara....."

Dia juga menulis, terdapat kes-kes seumpama tetapi tidak mendapat perhatian.

"Maaflah dulu... ada juga saya pernah jumpa..tapi tak masuk surat khabar," katanya lagi.

Razman Rashid pula menulis, "sayu rasanya dengar kisah ini... semoga tabah hadapi ujian ALLAH."

DzulsharifDzul Sharif dari Bangi juga rasa sayu hati mendengar cerita Abil Fikri.

"Syabas Abil Fikri, semoga ALLAH merahmati anda dan menyembuhkan penyakit isteri anda... moga tabah... bersabarlah," katanya.

Kisah Abil juga menerima perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri Limbongan, Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat .

Katanya, "semoga Mahkota ALLAH yang dipakai oleh isteri Abil menjadi rahmat kepada suami yang soleh."

"Saya ikut terharu dan berdoa semoga ALLAH swt memberkati usaha yang murni ini," kata beliau.

Siti Halimatussadiyah yang berada di Jakarta menulis, "semoga diterima amal ibadahnya."

"Dan mendapat tempat yang layak di sisi ALLAH swt... serta keluarga diberi kesabaran dan keiklasan menerima ujian ini," kata beliau.

Abdul Hakim dari Universiti Teknologi Malaysia memberi sokongan dengan menulis "semoga ALLAH memberi rahmat pada kamu saudara Abil... dan semoga isteri kamu berada di dalam rahmat ALLAH juga... mungkin saudara Abil boleh menyatakan no akaun bank.. untuk sesaiapa yang ingin membantunya."

Roslan Mamat dari Kuala Terengganu dengan berkata, "syabas! dari sudut kecil hati saya pada Encik Abil."

"Saya sendiri pun sudah lupa akan masa ijab kabul sebelum bergelar suami-isteri, bukan saja anak-anak...terpi isteri juga adalah amanah ALLAH... bertawakallah kepada-Nya... insya-Allah... inilah ujian akan adalah hikmat pada hambanya ke atas semua dugaan ini.... saya akan mendoakan dari jauh... berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikulnya.... sekali lagi Syabas saya ucapkan... kerana ini menyedarkan pada diri saya apa erti amanah... pada anak-isteri," katanya.

Faizal Ismail, yang memperkenalkan dirinya seorang guru berkata, "ini baru betul cinta..."
Sokongan moral turut diberikan oleh pembaca bernama  Zol Kharnai.
Katanya, "semoga Tuhan memberikan kekuatan dan kesabaran terhadap kamu."
"Sesiapa sahaja akan terhenti mindanya seketika bila membaca kisah kamu yang terpaksa berhenti kerja kerana mengurus dan menjaga isteri yang koma.
"Itu bukan perkara yang mudah dan tidak semua orang dapat menghadapinya. Dengan penuh insaf, saya berdoa semoga ALLAH memberikan kamu kesudahan yang baik," kata beliau lagi.
Pembaca bernama Noripz Aries Mazwan dari San Francisco pula menulis, "semua orang mahukan suami sebegini..."
Di sebalik sokongan moral, seorang pembaca, yang menggunakan nama Mat Top berkata, "Mat Top amat bersimpati dengan pasangan ini yang menerima dugaan dengan tabah."
"Cuma yang Mat Top muskilkan, adakah berhenti kerja untuk menjaga isteri dan berharapkan kepada bantuan Kebajikan Masyarakat, pencen isteri, simpanan dan simpati orang ramai lebih baik dari terus bekerja dan menjaga isteri di samping mengupah jurarawat terlatih menjaga isteri semasa keluar bekerja," katanya.
Shaikh Mohamed Noordin menulis, "inilah yang dikatakan 'suami masali''."
"Menjaga isteri juga merupakan tanggungjawab suami, dan syurgalah tempatnya bagi suami-suami yang memegang amanah dan tanggungjawab ini," kata beliau.
Beberapa pembaca mendoakan agar isteri Abil Fikri cepat sembuh.
John Labu berkata, "suami mithali, ALLAH akan bersama dengan tuan, semoga isteri cepat sembuh."
"Semoga ALLAH merahmati pengorbanan si suami dan memberi kesihatan pada isterinya," katanya lagi.
Orang ramai yang mahu menyumbang boleh menghubungi Abil menerusi talian 016-2634258.
READ MORE - Kisah Abil-Fauziah: Pembaca beri sokongan moral

Thursday, August 9, 2012

Kanak-kanak Rohingya perlu bantuan

SHAH ALAM – Malaysian Relief Agency (MRA) merayu rakyat Malaysia menghulur bantuan berupa makanan ataupun wang kepada anak-anak pelarian Rohingya di negara ini.

Koordinatornya, Johari Kan Abdullah berkata, bantuan diperlukan bagi meringankan beban kanak-kanak terbabit yang sering kekurangan bekalan makanan.

Beliau yang juga Pengetua Sekolah Komuniti Rohingya, yang berpusat di Cheras Baru, Kuala Lumpur berkata, ketika ini bantuan diterima terus daripada MRA.

“Bantuan berbentuk makanan amat-amat dialu-alukan terutamanya dalam bulan Ramadan ini bagi menampung keperluan berbuka puasa dan bersahur.

“Di sekolah ini mempunyai seramai 82 orang pelajar yang berusia dari enam hingga 16 tahun dan kebanyakan mereka ramai yang masih buta huruf,” katanya.

Katanya, kanak-kanak ini amat menghargai bantuan orang ramai kerana mereka tinggal dalam keadaan amat susah sebagai pemegang status pelarian.

Johari menambah, sumbangan tersebut boleh disalurkan melalui akaun Maybank atas nama Malaysian Relief Agency, nombor akaun: 5640 9820 6365.

Selain itu, penderma boleh juga menghantar bantuan ke Malaysian Relief Agency, Lot 7, Jalan Raja Uda, Kampung Baru 50300 Kuala Lumpur.

Sementara itu, menurut laporan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), sehingga penghujung Jun lali, lebih 99, 800 pelarian dan pemohon suaka yang berdaftar kini berada di Malaysia.

Daripada jumlah itu, seramai 91,400 daripadanya merupakan pelarian Myanmar.

Berdasarkan pecahan kaum pula, mereka terdiri daripada 34,420 Chin, 23,830 Rohingya dan 10,580 Myanmar di mana yang beragama Islam seramai 6,050 berasal dari Rakhines, 3,730 Mons, 3,230 Kachin dan lain-lain dari etnik lain dari Myanmar.
READ MORE - Kanak-kanak Rohingya perlu bantuan